KUALA LUMPUR, 16 Mac – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah membantu seramai 3.6 juta pelajar dengan jumlah pinjaman yang dikeluarkan adalah sebanyak RM65.60 bilion, sehingga 31 Januari lepas.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia yang juga Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jumlah yang besar itu jelas membuktikan peranan PTPTN dalam membantu pelajar bagi tujuan pendidikan tinggi dan menjadi tonggak kejayaan pembangunan modal insan negara.

Selain itu katanya, usaha demi usaha diteruskan PTPTN bagi memastikan ibu bapa mempunyai perancangan kewangan untuk masa depan anak-anak mereka.

“Usaha ini membuahkan hasil apabila pada 2004, PTPTN memperkenalkan satu skim simpanan yang dikenali sebagai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bertujuan menanam budaya menabung dalam kalangan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Ini jelas menunjukkan PTPTN sentiasa komited untuk memastikan ibu bapa mempunyai perancangan kewangan untuk anak-anak mereka. Dengan memperkenalkan simpan SSPN, kita telah membuka ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk memulakan tabungan khususnya bagi tujuan pendidikan dan memupuk amalan menabung dari awal usia anak-anak mereka.

“Sehingga 31 januari 2022, sebanyak 5.26 juta akaun telah dibuka dengan deposit berjumlah hampir RM11.1 billion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasminya, hari ini.

Menurut Wan Saiful, PTPTN terus meneroka pelbagai pendekatan baharu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan agar selaras dengan tekad dan objektif pendidikan tinggi negara.

Katanya, PTPTN tekad untuk memberi peluang kejayaan kepada lebih ramai pelajar selaras dengan motto PTPTN iaitu peluang kejayaan anda.

“Sepanjang penubuhannya, PTPTN juga telah menjamin kerjasama strategik dengan agensi badan kerajaan mahupun swasta bagi memastikan peranan dan fungsi PTPTN terus dilipatgandakan.

“Ini adalah satu perkara yang patut kita bangga, dengan langkah proaktif ini, PTPTN telah beri kesedaran kepada masyarakat bahawasanya PTPTN mempunyai peranan cukup besar diatas kejayaan pendidikan tinggi negara pada hari ini,” katanya.

Tambah beliau, dengan kerjasama strategik yang dijalin dengan pihak luar, PTPTN berjaya mengekalkan tahap kepercayaan masyarakat untuk menjadikan simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk penabungan.

“Kesedaran masyarakat untuk tabungan juga patut dihargai kerana sifat ini lah, jumlah deposit simpan SSPN semakin melonjak naik,” jelasnya.