KUALA LUMPUR, 16 Mac – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun penubuhannya pada tahun ini.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia yang juga Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan melancarkan logo tersebut yang dihasilkan melalui Pertandingan Reka Cipta Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN (1997–2022) pada 10 Januari hingga 3 Februari lalu.

Dalam kenyataan akhbarnya, PTPTN memberitahu, logo itu bertemakan ‘Peluang Kejayaan Anda’ yang mengetengahkan angka 25 melambangkan 25 tahun penubuhan PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyediakan kemudahan pembiayaan pinjaman dan deposit simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Reka bentuk siluet mortar board pula mencerminkan kejayaan PTPTN dalam membantu pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menamatkan pengajian dan membuka peluang kejayaan kepada mereka.

Logo PTPTN yang melintasi angka lima dan bulatan melambangkan PTPTN selaku tabung pendidikan utama negara yang membantu pelajar mendapatkan akses pendidikan tinggi tanpa bebanan kewangan.

Bentuk bulatan dengan anak panah menuju kepada mortar board pula melambangkan PTPTN yang terus komited membantu pelajar di IPT mendapatkan segulung ijazah.

Warna perak menjadi simbolik kepada 25 tahun kecemerlangan PTPTN dalam membantu pelajar melanjutkan pengajian ke IPT dan seterusnya dapat menyumbang bakti tenaga kepada agama, bangsa dan negara manakala penggunaan warna biru dan kuning pula adalah selari dengan warna korporat PTPTN.

Kenyataan itu menyebut, sempena pelancaran itu, turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang utama pertandingan iaitu pelajar Sains Biologi Sel Dan Molekul Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Bakhtiar Baharuddin dari Baling, Kedah yang membawa pulang ganjaran tunai berjumlah RM2,500.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, pelbagai program telah dirangka antaranya Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 25 Tahun PTPTN, Kempen Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 25 Tahun dan kemuncak sambutan iaitu Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, pelbagai cabaran dan rintangan yang ditempuhi oleh warga PTPTN selama 25 tahun menabur bakti demi untuk melihat kejayaan anak-anak bangsa ke menara gading.

“Peranan PTPTN dalam membantu para pelajar bagi tujuan pendidikan tinggi amat penting dan menjadi tunggak kejayaan kepada pembangunan modal insan negara.

“PTPTN juga sentiasa komited untuk memastikan ibu bapa mempunyai perancangan kewangan untuk anak-anak dengan memperkenalkan Simpanan SSPN,” ujarnya.

Katanya. PTPTN akan terus meneroka pelbagai pendekatan baharu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada para pelanggan agar selaras dengan objektif pendidikan tinggi negara dan bertekad memberi peluang kejayaan kepada lebih ramai pelajar selaras dengan moto PTPTN iaitu ‘Peluang Kejayaan Anda’.

PTPTN ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 1997 dan memulakan operasinya pada 1 November tahun yang sama.