IPOH, 20 Mac – Selepas dibatalkan tahun lepas ekoran pandemik COVID-19, saingan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara, Le Tour de Langkawi (LTdL) akan kembali ke Malaysia Jun ini.

Saingan edisi ke-26 berstatus UCI ProSeries itu dijadual diadakan dari 11 hingga 18 Jun depan.

Timbalan Presiden BERSATU yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa kembali LTdL tahun ini apabila negara bakal memasuki fasa endemik COVID-19.

“Saya mengharapkan agar usaha yang telah dibuat ini, membawa kembali Le Tour de Langkawi dapat menyemarakkan lagi minat orang ramai dalam sukan berbasikal.

“Bukan itu saja, yang jauh lebih penting ialah untuk kita kembali memperkenalkan negara kita, memaklumkan kepada dunia bahawa Malaysia telah dibuka dan kita jemput orang ramai kembali datang ke Malaysia untuk melancong dan bercuti di negara kita yang mempunyai banyak tempat-tempat indah untuk tujuan percutian,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media sempena Karnival Belia dan Sukan serta Majlis Pengenalan Laluan Le Tour de Langkawi Edisi Ke 26 Tahun 2022 Di Padang Awam Klebang Restu, Ipoh, pada Ahad.

Menurutnya, LTdL tahun ini membabitkan laluan 1,183 kilometer, dengan lapan peringkat menyusuri laluan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Langkawi.

Selain pendakian ke Genting Highlands yang hadir seawal peringkat ke-3 dari Putrajaya, satu lagi laluan pendakian getir ialah dari pekan Kuah ke Gunung Raya di Langkawi yang bakal menjadi tarikan sebelum penamat dengan laluan loop di Langkawi.

Sebanyak 22 pasukan dijangka mengambil bahagian tahun ini, termasuk 18 pasukan dari luar negara.

Bagaimanapun, pihak penganjur memberi masa sebulan lagi bagi membolehkan pasukan mendaftar dan majlis pengenalan pasukan akan diadakan di Kuala Lumpur pada 10 Jun.

Sejak bermula pada 1996 dengan kategori 2.6, LTdL menjadi gelanggang pilihan pasukan dan pelumba profesional termasuk dari negara kuasa besar sukan berbasikal seperti Itali, Perancis, Sepanyol, Jerman, Britain dan negara Eropah lain.