KOTA BHARU, 20 Mac – Operasi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, di sini sudah pulih seperti asal sebagaimana sebelum Covid-19 melanda seluruh negara, dua tahun lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kapasiti dan penggunaan LTSIP yang kini sudah mencecah 100 peratus boleh disifatkan sebagai amat pantas.

Antara faktornya kata beliau, rangkaian perjalanan membabitkan LSTIP dengan destinasi terbaik seperti Kuala Lumpur, Subang, Johor, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Pemulihan LTSIP ini cukup pantas kerana sudah menyamai sebagaimana sebelum Covid-19 melanda negara.

“Situasi tersebut secara tidak langsung merancakkan semula pertumbuhan ekonomi Kelantan,” katanya selepas melawat dan mendengar taklimat berkaitan perkembangan terkini projek menaik taraf LTSIP hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd. Suhaili Ismail.

Dalam pada itu, Mustapa memberitahu, projek merangkumi pembesaran LTSIP itu dilaporkan mengalami kelewatan selama 83 hari, namun, pihaknya optimis projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.

“Projek ini mengalami kelewatan akibat kekangan dihadapi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kekurangan tenaga kerja. Masalah Kekurangan tenaga kerja ini bukan di Kelantan sahaja kerana tempat-tempat lain turut terkesan

“Kementerian Pengangkutan sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendapatkan khidmat tenaga kerja asing bagi memastikan semua projek berjalan lancar,” ujarnya.

Skop utama projek bernilai RM440 juta itu merangkumi pembesaran terminal, balai ketibaan dan pelepasan sedia ada yang kini hanya mampu menampung 1.5 juta penumpang setahun.

Penambahbaikan turut dilakukan pada infrastruktur dan pelbagai kemudahan lain, termasuk menambah bilangan tempat letak kenderaan kepada 1,300 petak, berbanding sekarang hanya terhad 300 petak.

LTSIP disasar dapat menampung sehingga empat juta penumpang setahun apabila projek menaik taraf dan pembesarannya selesai, menjelang pertengahan 2024.