IPOH, 21 Mac – Jumlah guru bersara awal hampir menyamai kadar guru yang bersara wajib.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin berkata, Kementerian Pendidikan sedang memperincikan maklumat mengenai perkara itu sebelum dikongsikan kepada umum.

Katanya, perkara itu memerlukan perincian menyeluruh termasuk corak atau trend yang mendorong guru-guru bersara lebih awal.

“Kita akan melihat perincian data perkara itu, bukan sahaja dari jumlah tetapi perkara-perkara lain termasuk apabila ramai yang bercakap macam-macam.

“Kita juga sedang menyusun data untuk melihat puncanya satu persatu termasuk bagaimana keadaan guru dan tempoh mereka dalam bidang ini sebelum membuat keputusan bersara awal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka bagi kalendar akademik 2022/2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Idrus, Chemor, dekat sini, hari ini.