IPOH, 21 Mac – Lebih 2.7 juta murid dan pelajar melibatkan 7,778 buah sekolah kebangsaan dan 87 buah kolej vokasional memulakan sesi persekolahan dan pembelajaran secara bersemuka bagi kalendar akademik 2022/2023 bermula hari ini.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, daripada jumlah itu, seramai 30,000 orang merupakan pelajar kolej vokasional yang memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka manakala bakinya melibatkan murid sekolah rendah.

Menurut beliau, tinjauan di beberapa buah sekolah di sini pagi ini mendapati kehadiran murid amat memuaskan meskipun negara masih dalam fasa pandemik.

“Jika kita lihat pada hari ini, kehadiran di sekolah-sekolah khususnya dalam kalangan murid tahun satu cukup baik dengan mengambil kira situasi semasa.

“Apa yang penting adalah untuk kita pastikan segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dapat dipatuhi dengan baik oleh guru, murid dan seluruh warga sekolah,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka bagi kalendar akademik 2022/2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Idrus, Chemor di sini hari ini.

Mengenai peratusan kehadiran pelajar tahun satu pada hari pertama sesi persekolahan, Mohd. Radzi berkata, kehadiran mereka berada pada tahap yang baik.

“Untuk murid tahun satu yang baharu hadir pertama kali secara bersemuka pada pagi ini, kehadiran adalah berada pada tahap yang baik.

“Misalnya tadi saya dimaklumkan kehadiran murid tahun satu di SK Syed Idrus melebihi 90 peratus.

“Ini menunjukkan ibu bapa bersedia untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah,” katanya.

Untuk rekod, hampir 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara memulakan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2022/2023.

Daripada jumlah itu, seramai 2.7 juta memulakan sesi secara bersemuka manakala bakinya melibatkan dua juta pelajar sekolah menengah memulakan sesi persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).