KAJANG, 22 Mac – Seramai 10,000 banduan dijangka menjalani program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni dengan 80 peratus daripada mereka dapat ditempatkan dalam industri seterusnya mampu mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.

Setiausaha Agung BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap golongan banduan yang menjalani program Pemulihan Dalam Komuniti pada 2021 iaitu melebihi 7,000 orang.

Menurutnya, melalui program tersebut, kerajaan mampu menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta setahun.

“Peluang diberikan untuk banduan berada dalam komuniti dan sebanyak 99.63 peratus daripada mereka telah berjaya dan tidak lagi mengulangi kesilapan serta kembali semula ke penjara.

“Bagaimanapun, kementerian turut komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus diutamakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-232 di Ibu Pejabat Jabatan Penjara di Kajang hari ini.

Dalam pada itu Hamzah berkata, pihaknya telah meluluskan 347 perjawatan baharu selain menambah pejabat parol daerah kepada 100 buah berbanding 52 unit pada masa ini.

Selain itu, ujarnya, Rang Undang-Undang (RUU) Perintah Kehadiran Wajib (Pindaan) 2021 bakal menjadi alternatif kepada hukuman pemenjaraan sekiranya bacaan kali kedua dan ketiganya diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Jelasnya, RUU tersebut akan membolehkan mahkamah memerintahkan hukuman alternatif pemenjaraan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan pesalah.

“Pesalah ini bukan sahaja boleh dipulihkan melalui kerjasama kerajaan dan komuniti, malah mampu untuk meneruskan kehidupan sambil menjalani hukuman dalam komuniti yang akan diselia pegawai Jabatan Penjara.

“Berdasarkan statistik, seramai 6,744 pesalah telah menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dengan kadar pematuhan melebihi 96 peratus, sejak 2010 hingga kini,” katanya.