KAJANG, 22 Mac – Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu diperincikan supaya memberikan definisi tepat berhubung terma ‘lompat parti,’ sebelum dibentang untuk dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, RUU itu perlu mengetengahkan definisi ‘lompat parti’ yang boleh diterima semua pihak bagi mengelak isu berbangkit pada masa depan.

Menurutnya, langkah memperincikan itu perlu dilakukan dalam beberapa aspek lain yang mungkin mengelirukan bagi mengelak elemen salah guna kuasa dalam kalangan kepemimpinan sesebuah parti.

“Contohnya, seseorang dipecat parti tidak boleh pergi ke parti lain. Selain itu, hak ahli untuk mempunyai ketegasan dalam parti adalah sesuatu yang patut diambil kira.

“Misalnya, apabila ahli parti tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti yang melakukan perkara salah, dia bertegas dan lawan sehingga dia dipecat. Adakah ia juga dianggap dia tidak boleh pergi ke parti lain? Adakah itu juga dianggap sebagai lompat parti?

“Jadi inilah perkara terperinci patut diambil perhatian. Itu satu contoh, ada banyak lagi contoh lain sepatutnya kita sudah pun bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-232 di Maktab Penjara di Kajang, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa RUU Anti Lompat Parti dilaksanakan tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen 2022 iaitu pada bulan ini seperti dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai September lalu.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, RUU berkenaan akan memberi peluang kepada presiden parti untuk melakukan salah guna kuasa.

Beliau berkata, pihaknya mahu RUU berkenaan dilaksanakan, namun memerlukan sedikit masa dan penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara.

“Biar kerajaan kaji dengan lebih mendalam, perhalusi semua ini dan kemudian bawa ke Parlimen. Bukan kita tidak mahu bawa (RUU Anti Lompat Parti) dan ada juga cadangan supaya kita buat sidang khas Dewan Rakyat hanya untuk bentang RUU ini.

“Pembangkang mungkin tidak tahu apa yang saya jelaskan ini, jadi kita tak salahkan mereka mahu pun kerajaan.

“Kita mahu selesaikan sesuatu akta biarlah ia boleh diterima pakai bukan hanya untuk tahun ini atau tahun depan semata-mata tetapi boleh gunakan berpanjangan sehingga tempoh yang kita rasa sesuai digunakan dalam landskap politik negara ketika ini,” katanya.