KUALA LUMPUR, 23 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) membentangkan usul bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi bermula 31 Julai ini.

Justeru, kerajaan bercadang mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari mengikut peruntukan 4(5) akta sama bagi memberi ruang masa cukup kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan kes kesalahan-kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks.

Setiausaha Agung BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, lanjutan pelaksanaan undang-undang berkenaan bertujuan bagi membolehkan pihak berkuasa terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

Jelasnya, tempoh 28 hari dalam akta itu tidak mencukupi kerana kes disiasat di bawah SOSMA sangat rumit terutama melibatkan kumpulan pengganas dan jenayah terancang yang mempunyai rangkaian luas.

“Tambahan pula, siasatan kes membabitkan kesalahan keselamatan, terutama jenayah keganasan dan jenayah terancang adalah rumit dan kompleks serta memerlukan masa untuk dilengkapkan bagi mendapatkan keterangan daripada orang yang ditahan ketika pengumpulan bukti berkaitan bagi tujuan pendakwaan termasuk pengesanan rakan sejenayah yang masih bebas.

“Tanpa Subseksyen 4(5) dilanjutkan dan jumlah tahanan 28 hari tidak dikekalkan, kualiti siasatan pihak polis dikhuatiri akan terjejas kerana ia dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam saja untuk menjalankan siasatan, menyediakan dan melengkapkan kertas siasatan, seterusnya mengemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

“Pada hemat saya, pihak yang tidak bersetuju dengan SOSMA 2012 atau tidak menyokong usul melanjutkan Subseksyen 4(5) ini adalah golongan yang ingin membuka ruang kepada penjenayah dan pengganas bermaharajalela dalam negara ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA dihadkan kepada lima tahun sahaja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang dalam penguatkuasaannya, bagaimanapun, ia boleh disemak dan dilanjutkan jika mendapat kelulusan Parlimen.

Menafikan SOSMA sebagai undang-undang zalim, Ahli Parlimen Larut itu menegaskan Subseksyen 4(3) memperuntukkan tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan mengikut seksyen itu semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politik mana-mana individu.

Beliau berkata, seramai 3,717 individu ditahan mengikut SOSMA sejak 2016 dengan 400 daripadanya ditahan kerana terbabit elemen kumpulan pengganas, 321 terbabit aktiviti sindiket penyeludupan manusia, 1,838 kerana kesalahan pemerdagangan manusia dan 1,030 di bawah kesalahan jenayah terancang.

Katanya, SOSMA juga digunakan untuk menghukum pengganas menyerang Sabah yang dilancarkan Jamalul Kiram III pada 2013, menyaksikan seramai 551 individu ditahan mengikut SOSMA, 31 individu dituduh dan lapan daripadanya dihukum gantung sampai mati.

“Selain itu, antara kes lain membuktikan Subseksyen 4(5) diperlukan, adalah serangan di Movida Kitchen Bar and Club Lounge di Puchong, Selangor serta sindiket menyeludup keluar 131 warga Sri Lanka dari perairan Malaysia untuk ke negara ketiga,” katanya.