ALOR SETAR, 23 Mac – Penduduk di kawasan luar bandar di negeri ini akan mendapat sumber pendapatan baharu dengan menanam dan menjual ketum sekiranya cadangan kerajaan Kedah mengeksport daun tanaman tersebut ke luar negara diluluskan kerajaan Pusat.

ADUN BERSATU Kuah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, penduduk di kawasan luar bandar selepas ini boleh mengusahakan tanah mereka dengan tanaman tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, penanaman dan penjualan ketum itu perlu mengikut akta dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sehubungan itu, katanya, hasrat kerajaan negeri untuk mengkomersialkan penanamannya wajar disambut dengan baik.

“Saya melihat ini satu perniagaan yang baik kepada para usahawan tani, di mana tempoh matang pokok tidak terlalu lama dan tempoh nak tuai juga boleh dilakukan secara berkala dan tidak perlu menunggu musim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Mohd. Firdaus memberitahu, bekalan daun ketum mendapat permintaan tinggi daripada syarikat farmasi Amerika Syarikat dan Eropah kerana ia digunakan dengan meluas dalam industri farmaseukital.

Jelasnya, perusahaan ketum di Kalimantan, Indonesia pula menjana RM10 juta sebulan hasil eksport ke negara Eropah.

“Sumber Risda menyatakan jika kerajaan membenarkan penanamannya secara terkawal, dijangkakan perusahaan ini akan dapat membantu 600,000 usahawan pekebun kecil termasuk di Kedah.

“Purata pendapatan (penanam) sebanyak RM1,000 sebulan bagi hasil tanaman 10 pokok ketum,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilapor mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, kementeriannya tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand.

Beliau berkata, perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.