KUALA LUMPUR, 24 Mac – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menggesa kerajaan serius bertindak tegas ke atas majikan yang tidak menghormati hak kebebasan beragama pekerja.

Pengerusi Biro Data dan Strategiknya, Jun Abdul Mutalib Hasan berkata, langkah itu sangat perlu kerana ada banyak aduan pekerja disekat mengamalkan ajaran agama di tempat kerja.

“Terdapat majikan yang secara terbuka melarang pekerja wanita Muslim daripada memakai tudung atau mengenakan pakaian menutup aurat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau merujuk pendedahan Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ahmad Fadhli Shaari ketika perbahasan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan 2021) di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

Perubahan yang dicadangkan Kementerian Sumber Manusia itu menjadi pelengkap kepada beberapa akta sedia ada bagi membolehkan Malaysia membendung isu jenayah buruh paksa.

Bagaimanapun Ahmad Fadhli yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat dan Ahli Parlimen Pasir Mas membongkar diskriminasi pekerja tempatan beragama Islam yang masih berlaku.

Mengulas lanjut, Abdul Mutalib berkata, tindakan biadab majikan terbabit turut melibatkan isu pekerja Muslim dilarang menunaikan solat fardu dan berpuasa pada siang bulan Ramadan.

“Ini merupakan bukti jelas masih wujud diskriminasi agama yang tidak boleh diterima sama sekali apatah lagi Islam merupakan agama Persekutuan menurut perlembagaan,” tegasnya.