KUALA LUMPUR, 24 Mac – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU mengecam tindakan blok pembangkang yang tidak menyokong usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat.

Ketua Armada BERSATU, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan tindakan itu bukan sahaja tidak menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang, malah beliau menganggap pihak pembangkang masih mengutamakan perbezaan politik berbanding kepentingan rakyat.

“Ini bertentangan dengan amalan kebiasaannya iaitu semua pihak harus mengetepikan perbezaan peribadi atau politik dalam perkara-perkara yang melibatkan dasar keselamatan negara.

“Tindakan mereka juga jelas memperlekeh dan memperkotak-katikkan usaha kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri untuk mewujudkan satu persekitaran dan perimeter yang selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sedangkan, beliau berpandangan bahawa SOSMA merupakan salah satu instrumen pencegahan jenayah keganasan serta bertujuan memelihara kedaulatan negara.

Usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam tidak diluluskan Dewan Rakyat hari ini setelah melalui undi belah bahagian, yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.