KUALA LUMPUR, 24 Mac – Pihak yang tidak bersetuju dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) bakal membuka ruang kepada penjenayah dan pengganas berkuasa.

Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Md Rais berkata, ini terbukti apabila ada pihak yang tergugat dengan kewujudan Sosma sebelum ini.

“Apa yang berlaku sekarang seolah ada satu gerakan untuk menghalalkan kesalahan atas kepentingan politik dan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sebagai ahli Parlimen yang bertanggungjawab, mereka seharusnya menyokong serta memberikan ruang dan sokongan yang secukupnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Adakah wujud segelintir ahli Parlimen berhasrat untuk menggalakkan perkembangan ekstremis dan radikalisasi dengan berusaha untuk memansuhkan Sosma?” ujarnya.

Tambahnya lagi, Sosma sebenarnya jauh lebih baik berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Kerajaan harus berusaha untuk membuat usul semula pada sesi khas berkenaan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang perlu dilanjutkan selama lima tahun lagi mulai 31 Julai 2022,” katanya.

Jelas Mahathir, dengan ketiadaan akta itu, usaha penyelidikan dan risikan berkaitan keganasan perlu diperkemaskan agar tidak berlaku kesilapan dalam membuat penangkapan dan penahanan.