KUALA LUMPUR, 25 Mac – Kerajaan tidak akan berputus asa dan berusaha untuk mengusulkan semula kepada Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi tempoh lima tahun lagi sebaik tamat Julai ini.

Setiausaha Agung BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan menggunakan segala perundangan sedia ada untuk memastikan SOSMA akan terus berkuat kuasa selepas ini.

Menurut beliau, ini kerana, peruntukkan undang-undang ini telah diwujudkan bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

“Bila kita hapuskan ISA, ada beberapa peristiwa terlepas daripada tindakan undang-undang termasuk berlaku jenayah terancang.

“Maka sebab itu, kita fikir instrumen yang terbaik agar SOSMA dapat diteruskan,”katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 tahun 2022 di Pulapol Kuala Lumpur dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Hamzah, SOSMA masih kekal hanya seksyen membabitkan tahanan 28 hari tidak boleh lagi digunakan selepas Julai ini.

“Jadi kalau kita mahu tangkap penjenayah yang melibatkan sindiket yang besar dan ramai kita perlu gunakan Kanun Prosedur Jenayah kemudian bawa mereka ke Majistret, apa akan jadi?

“Sepanjang tempoh itu, penjenayah berkenaan boleh menghapuskan segala barang bukti yang ada.

“Itu sebabnya, 28 hari itu amat penting untuk siasatan dapat dijalankan satu per satu dan seterusnya ada rangkaian bukti yang diperlukan dapat diperolehi,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya alasan sebahagian Ahli Parlimen keluar dewan ketika undian dibuat bagi perkara itu pada Selasa lalu Hamzah memberi jawapan: “Alasannya mereka tidak suka lihat wajah saya.”

“Sebilangan daripada mereka (ahli Parlimen) sudah ada dalam dewan saya boleh menamakan (identiti) mereka, dan mereka terus keluar dari dewan rakyat ketika proses undi berbelah bahagi, itu tidak adil,” ujarnya.

Sementara itu, Hamzah menjelaskan, beliau juga agak terkilan kerana ada juga pihak sebelah kerajaan tidak menyokong undian itu.

“Pembangkang tu satu bab, mereka main politik semata-mata.

“Saya minta rakyat sedar bahawa jangan la pikirkan politik. Hikmahnya, Allah nak tunjuk pada kita semua ada kumpulan yang tuntut sayang pada negara rupanya sebaliknya pula,” katanya.