KUALA LUMPUR, 25 Mac – Masalah berat badan berlebihan dan obesiti kini meningkat pada kadar yang membimbangkan di negara ini dengan satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan.

Ahli Parlimen BERSATU Bagan Serai yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata hasil kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), yang dijalankan setiap empat tahun, mendapati 50.1 peratus rakyat Malaysia mencatatkan berat badan berlebihan dengan 19.7 peratus daripada mereka menghadapi masalah obesiti pada 2019.

“Ini bermakna satu dalam dua orang dewasa kini berlebihan berat badan. Bagi kanak-kanak pula, 30 peratus daripada mereka berumur lima hingga 13 tahun mencatitkan masalah obesiti.

“Kebimbangan kami (kerajaan) adalah perkara ini akan menjadi semakin teruk. Lebihan berat badan boleh meningkatkan risiko penyakit kronik dan penyakit tidak berjangkit,” katanya melancarkan sambutan Minggu Obesiti Malaysia hari ini.

Berbanding hasil kajian sama yang dijalankan pada 2015, hanya 29.4 peratus rakyat Malaysia direkodkan mempunyai berat badan berlebihan dan hanya 15.1 peratus termasuk dalam kategori obesiti, justeru membuktikan masalah tersebut semakin serius.

Noor Azmi berkata antara inisiatif diambil bagi menangani masalah itu adalah mengadakan kolaborasi bersama syarikat industri makanan dan minuman dalam menggalakkan penghasilan produk memenuhi kriteria nutrisi ditetapkan, serta pendekatan pelaksanaan duti ekais terhadap minuman bergula.

“Literasi awam terhadap kesihatan adalah penting dalam usaha memerangi masalah obesiti yang perlu dipikul bersama oleh segenap lapisan masyarakat, dengan harapan dapat menurunkan kadar obesiti di negara dan rakyat boleh menjadi lebih sihat.

“Kami nak semua orang faham, tahu dan boleh mengambil tindakan secara kendiri,” katanya.

Minggu Obesiti Malaysia yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), disambut pada setiap Mac dengan tujuan meningkatkan kesedaran awam tentang bahaya obesiti selain langkah pencegahan dan rawatan masalah itu.