KUALA LUMPUR, 26 Mac – Penggunaan teknologi mekanisasi dalam sektor pertanian dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh sekali gus memastikan pengeluaran makanan negara tidak terjejas.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, usaha pembangunan teknologi berkenaan melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) adalah sejajar dalam usaha mencapai Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) bagi merancakkan industri agromakanan di negara ini.

“Teknologi mekanisme ini mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil dan mengurangkan kebergantungan import serta jimat kos buruh.

“Kami berharap penemuan MARDI boleh dikomersialkan bagi penggunaan lebih ramai pengusaha tanaman di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pakej Mekanisasi Tanaman Kubis Tanah Rendah di MARDI Kundang, dekat sini pada Sabtu.

Ronald berkata, alternatif yang diperkenalkan hari ini melalui perluasan kawasan penanaman kubis bulat di tanah rendah adalah amat baik dalam menjamin bekalan tempatan sentiasa mencukupi.

Dalam majlis itu, Ronald turut menyampaikan pakej mekanisasi kepada wakil petani dan menyerahkan manual penanaman kubis tanah rendah dan baja organik kepada wakil peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM).

Pakej mekanisasi itu terdiri daripada mesin semaian biji benih, mesin pemasangan plastik sungkupan, mesin penanaman kubis, mesin penyemburan berlengan, dron penyembur racun dan baja serta mesin baja penuaian kubis.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pengenalan teknologi baharu itu selari dengan usaha meningkatkan pengeluaran hasil segar bagi menyumbang kepada pertumbuhan mapan dalam sektor pertanian.

Katanya, dalam jangka panjang penggunaan teknologi mekanisasi dapat menyelesaikan masalah buruh serta menyumbang kepada keuntungan yang lebih tinggi berbanding sistem tanaman konvensional kerana dapat mengurangkan kos buruh.

Mohamad Zabawi berkata, sebagai contoh, keuntungan yang akan diperoleh petani yang akan menggunakan teknologi mekanisasi tanaman kubis ini bermula pertengahan bulan hadapan adalah RM4,000 setiap hektar bagi setiap musim.

“Kita belum perkenalkan sistem ini (secara komersil) kepada petani buat masa, kita masih buat penelitian kepada teknologi supaya tahun hadapan teknologi itu benar-benar dapat keluarkan produk yang berkualiti,” katanya.