TUARAN, 27 Mac – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hari ini mengumumkan kerajaan Sabah ketika ini dirujuk sebagai ‘Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN)’.

“BN juga sebahagian daripada kerajaan yang ditubuhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dan dipersetujui kedua-dua pihak. Memang itu namanya, GRS-BN walaupun BN bukan gabungan GRS.

“Kerajaan (Sabah) yang ada hari ini adalah kerajaan GRS dan BN,” katanya pada sidang media selepas program lawatan kerja ke Tamparuli.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim serta Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

GRS diluluskan pendaftarannya sebagai entiti politik baharu pada 11 Mac lalu, disertai empat parti politik tanpa UMNO, BN dan PAS.

Empat parti terbabit adalah BERSATU, Parti Bersatu Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Pengerusi GRS merangkap Pengerusi PN dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, turut meluluskan lima permohonan projek kecil bagi menaik taraf pembangunan di Tamparuli.