KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pelan komprehensif strategi pertahanan dan keselamatan dalam negara akan dibentangkan ke Kabinet dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelan tersebut yang dirangka khusus secara bersama Kementerian Pertahanan akan memperincikan isu berkaitan untuk tempoh jangka masa panjang.

Katanya, antara perkara yang akan dimasukkan dalam pelan tersebut termasuklah kawalan sempadan dan keselamatan maritim untuk ditangani secara bersama membabitkan kedua-dua kementerian.

“Kita tidak boleh serahkan tanggungjawab kepada satu kementerian dan ia sepatutnya perlu bergabung tenaga dan kerjasama dengan lebih padu. Sebagai contoh anda boleh lihat Op Benteng yang dilaksanakan sepanjang dua tahun lalu. Ia telah membuktikan kejayaan gabungan padu kedua-dua kementerian dalam penguatkuasaan keselamatan negara.

“Untuk memantapkan pertahanan sempadan negara, kita perlu semua pihak bekerjasama dan itu motif sebenar kita akan hasilkan satu pelan komprehensif untuk sempadan, pertahanan dan keselamatan dalaman kita,” katanya selepas meninjau persiapan terakhir penganjuran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2022 (DSA 2022) dan Perkhidmatan Keselamatan Asia NATSEC 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dijangka 25,000 pengunjung dari lebih 50 negara mengambil bahagian dalam pameran yang bermula hari ini sehingga 31 Mac nanti.

Selain itu, kira-kira 4,800 pelawat antarabangsa yang terdiri daripada pakar, pempamer, perwakilan, pegawai kerajaan dan pemain industri dijangka turut terlibat.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) membabitkan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disusun dan ditambah baik semula menerusi satu pertemuan khas pada DSA 2022 dan NATSEC 2022 yang bermula hari ini.

Menurutnya, pertemuan tersebut akan melibatkan rakan sejawatnya, Prabowo Subianto dan Delfin Lorenzana.

Katanya, beliau dan kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan perkara khusus berkaitan keselamatan maritim kawalan sempadan dan juga isu pengganas di kawasan terlibat serta ancaman yang dihadapi secara bersama.

“Ini adalah satu permulaan yang baik dalam aspek geopolitik kita dan dalam masa yang sama untuk berdepan ancaman membabitkan ketiga-tiga negara.

“Kita juga akan berbincang mengenai keselamatan di Laut Sulu dan pertemuan ini akan melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” jelasnya.