MELAKA, 30 Mac – Seramai 85,700 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 direkodkan tidak dapat menduduki sesi pertama peperiksaan, kerana terkesan akibat jangkitan Covid-19 dan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, bagaimanapun kesemua calon tersebut dijadual menduduki sesi kedua yang bermula dari 5 April sehingga 19 Mei ini.

Katanya, mengikut pecahan, seramai 84,949 calon tidak dapat menduduki SPM disebabkan jangkitan Covid-19, manakala 751 lagi terkesan banjir.

“Kita lihat bahawa seramai 85,700 daripada 407,097 calon SPM ataupun 21.1 peratus tidak dapat menduduki sesi pertama, jadi mereka dijadual menduduki sesi kedua bagi kertas-kertas tertentu yang tidak dapat dihadiri sebelum ini.

“Ini kerana sama ada mereka positif atau dikuarantinkan, terkesan dengan banjir mahupun atas sebab-sebab yang telah disahkan oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Teknik Melaka, Bukit Piatu, pada Selasa.

Tambah Mohd. Radzi, bagi Melaka, seramai 3,407 daripada 13,152 calon SPM 2021 terlibat dalam peperiksaan sesi kedua itu.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, dengan berakhirnya sesi pertama pada hari ini, kesemua 23,855 pemeriksa dilantik juga telah memulakan tugas masing-masing untuk memeriksa kertas-kertas jawapan.

“Setelah tamatnya kertas terakhir iaitu Lukisan Kejuruteraan pada hari ini, maka pemeriksa juga telah memulakan pemeriksaan kertas untuk memastikan keputusan dapat dikeluarkan pada masa yang ditetapkan.

“Keputusan peperiksaan bagi sesi pertama dan kedua akan keluar pada tarikh yang sama, seperti tahun lalu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, kerajaan masih memerlukan sedikit masa untuk membuat pemantauan sebelum membolehkan semua murid sekolah rendah kembali ke sekolah tanpa kaedah penggiliran.