KOTA KINABALU, 30 Mac – Autonomi yang diberikan kepada Badan Pimpinan BERSATU Sabah dilihat telah digunakan sebaiknya untuk mentadbir dan melaksana usaha terbaik dalam membantu rakyat di negeri ini.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata dengan kebebasan diberikan itu, Badan Pimpinan BERSATU Sabah di bawah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah berjaya merencana pelbagai inisiatif dalam memajukan negeri, seterusnya membantu rakyat Sabah.

Katanya, fokus kerajaan Sabah dipimpin Hajiji pada masa ini adalah jelas mengenai kepentingan rakyat dan membangunkan negeri serta ekonomi iaitu sesuatu yang dicemburui negeri lain.

“Mungkin perkataan autonomi itu tidak digunakan secara rasmi, tetapi itulah secara praktiknya kebebasan membuat keputusan yang tepat dan sesuai untuk Sabah, kuasa itu digunakan dengan baik. Saya ucap syabas kerana berjaya menguruskan kepercayaan diberi ini,” katanya pada Selasa.

Wan Saiful berkata demikian kepada pemberita pada satu majlis dialog bersama Ketua-Ketua Penerangan Negeri Sabah yang turut dihadiri Ketua Penerangan BERSATU Sabah Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Sementara itu, Khairul Firdaus ketika berucap pada majlis berkenaan berkata kebebasan Badan Pimpinan BERSATU Sabah untuk merencana hala tuju negeri bersama parti tempatan menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan bukti BERSATU Sabah mempunyai autonomi sebenar berbanding parti peringkat nasional yang lain.

“BERSATU Sabah ini telah bersifat tempatan, bagaikan BERSATU kahwin dengan orang Sabah dapat anak, itulah BERSATU Sabah. Jadi kita bebas tentukan corak pentadbiran kita sendiri, tidak seperti parti nasional lain yang punyai kekangan, fokus kita untuk ahli BERSATU dan paling penting majukan Sabah untuk rakyat kita,” katanya.