KOTA KINABALU, 30 Mac – Kerajaan negeri akan mengekalkan momentum sedia ada bagi meningkatkan hasil negeri dengan mengunakan pelbagai pendekatan termasuk strategi percukaian.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pada tahun lalu, Sabah melakar sejarah apabila mencatatkan kutipan hasil negeri yang tertinggi berjumlah RM5.44 bilion.

Beliau berkata, pertama kali sejak merdeka Sabah berjaya menembusi angka RM 5 bilion menerusi kutipan hasil negeri.

“Meskipun keadaan sekarang mencabar, kita akan terus berusaha untuk memastikan momentum ini dapat dikekalkan,” katanya dalam majlis sambutan setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.

Menurutnya, kerajaan Negeri juga sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan perundingan dengan kerajaan Persekutuan mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kita yakin rundingan ini akan dapat memberikan jumlah pertambahan pemberian khas pada kadar yang signifikan sekali gus akan membantu meningkatkan hasil negeri.

“Di samping itu, kita juga menyasarkan pertambahan hasil negeri dengan penerokaan sumber baharu, inisiatif-inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri juga mempertimbangkan strategi pemerkasaan amalan tadbir urus korporat bagi membolehkan semua badan dan syarikat terlibat menunaikan tanggungjawab pembayaran dividen yang lebih tinggi.

Pada tahun lalu, Sabah menerima sejumlah RM112.2 juta dividen daripada badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 12.9 peratus berbanding tahun 2020.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkasa peranan badan berkanun dan GLC supaya dapat menyumbang kepada peningkatan hasil negeri.

Justeru, beliau akan memastikan kedudukan kewangan Sabah berada dalam keadaan yang stabil dan diurus serta dibelanjakan secara berhemah tanpa menjejaskan rezab sedia ada.

Tambahnya, bagi menjayakan pelan pembangunan SMJ, kerajaan akan menginstitusikan Sekretariat Hala Tuju SMJ sebagai satu badan penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan agar ia lebih tersusun.