TANJUNG KARANG, 30 Mac – Sektor pertanian dianggarkan berkembang sebanyak 3.8 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan menyumbang tujuh peratus kepada keluaran negara dalam kasar (KDNK) pada tahun 2025.

Ia berikutan pertumbuhan sektor agromakanan yang dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pelbagai program dan pendekatan baharu dirangka merentasi semua subsektor agromakanan termasuk padi dan beras.

“Ini bertujuan meningkatkan pengeluaran dan memastikan bekalan makanan negara mencukupi sepanjang masa selari dengan usaha meletakkan sektor pertanian sebagai penyumbang penting ekonomi negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pertukaran dokumen Memorandum Kolaborasi (MOC) antara FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) serta pelancaran beras wangi Malaysia ‘SAJI Aroma’ di Tanjung Karang, Selangor, pada Selasa.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi dan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar kementerian itu, Azah Hanim Ahmad.

Sementara itu, MAFI memaklumkan telah dan sedang melaksanakan program tersebut disertai oleh syarikat-syarikat peneraju yang berminat membangunkan kawasan-kawasan penanaman padi secara berperingkat.

Menurutnya, ia dilaksanakan menerusi pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak, sewaan perkhidmatan dan lain-lain.

Dalam pada itu, MAFI melaksanakan beberapa program berkaitan sawah berskala besar di seluruh negara bagi meningkatkan produktiviti padi di peringkat domestik.

“Sudah tiba masanya pihak swasta turut diberi peluang dalam memainkan peranan meneraju subsektor padi dan beras bagi menyuntik semangat dan corak baharu kepada industri makanan.

“Pendekatan SMART SBB juga dapat diperluas kepada tanaman-tanaman lain termasuk penanaman jagung bijian yang mempunyai permintaan dan kebergantungan import yang tinggi,” katanya.