KUALA LUMPUR, 30 Mac – Pertimbangan dalam memilih atlet olahraga bagi membentuk kuartet 4×100 meter (m) wanita ke Sukan SEA di Hanoi, Vietnam perlu bersandarkan merit dan pencapaian diraih mereka.

Timbalan Presiden BERSATU yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia seharusnya tidak lari daripada prinsip pemilihan ditetapkan buat mana-mana atlet untuk ke temasya sukan dwitahunan tersebut.

“Saya mengikuti rapat isu dibangkitkan tentang pemilihan atlet olahraga berkenaan namun tidak mempunyai niat untuk campur tangan urusan pemilihan atlet diputuskan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

“Bagaimanapun, saya terpanggil mengingatkan pentadbir dan pemimpin sukan terhadap tanggungjawab memilih atlet yang terbaik bagi membawa cabaran negara di pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata berdasarkan situasi terkini, empat pelari pecut wanita berjaya menghasilkan catatan di bawah 12 saat (s) dalam acara 100m dan selayaknya dipilih membentuk gandingan 4x100m itu.

Empat atlet tersebut ialah Zaidatul Husniah Zulkifli yang mencatat 11.62 saat (s), diikuti Nor Sarah Adi (11.89s), Azreen Nabila Alias (11.90s) dan Fatin Ilyana Mat Nayan dengan masa 11.97s.

Beliau berkata pihaknya dalam masa sama memahami sebarang kata putus bagi penyertaan atlet di bawah kategori B Sukan SEA adalah terletak di bawah keputusan Persatuan Sukan Kebangsaan.

“Sekiranya Persatuan Sukan Kebangsaan mempunyai strategi tertentu di sebalik pemilihan seseorang atlet, ia patut diperjelaskan kepada atlet dan umum bagi mengelakkan salah faham selain timbulnya pelbagai spekulasi tidak enak,” katanya.

Ahmad Faizal berkata pihaknya berharap supaya KOM serta Persatuan Sukan Kebangsaan lain dapat memperhalusi semua aspek tersebut dan mengambil keputusan terbaik demi kejayaan kontinjen Malaysia.

Semalam menerusi laporan Bernama, jurulatih skuad pecut negara M. Balamurugan menyatakan kekecewaan dengan keputusan KOM yang tidak menyenaraikan Fatin Ilyana ke Sukan SEA Hanoi pada Mei ini.

Balamurugan berkata berdasarkan prestasi semasa, atlet berusia 19 tahun itu layak berada dalam kuartet 4x100m wanita apabila muncul antara empat pelari mencatatkan keputusan terbaik peribadi pada Kejohanan Kuala Lumpur (KL) Allcomers minggu lepas.