BAGAN SERAI, 4 April – Ibu bapa dinasihatkan untuk tidak membawa anak kecil mereka khususnya bayi ke kawasan sesak seperti bazar Ramadan berikutan bimbang risiko penyebaran Covid-19.

Ahli Parlimen BERSATU Bagan Serai yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, biarpun negara kini telah memasuki peralihan endemik, namun itu tidak bermakna negara telah bebas dari ancaman bahaya Covid-19 sepenuhnya.

“Melihatkan suasana hari pertama di bazar Ramadan di Bagan Serai hari ini, kita dapati ramai pengunjung membawa anak-anak kecil mereka dalam tempat yang penuh sesak.

“Sebaik-baiknya, elakkan untuk membawa anak-anak kecil ini terutama bayi ke tempat yang sesak sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kurma kepada pengunjung di bazar Ramadan Jalan Raja Syed Thauphy di sini, semalam.

Noor Azmi berkata, kanak-kanak yang masih kecil seperti bayi mudah terdedah kepada bahaya jangkitan Covid-19 terutamanya dalam tempat yang sesak.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk membawa mereka ke tempat begini kerana ada kanak-kanak yang masih belum divaksinasi dan mereka ini golongan yang berisiko tinggi terdedah dengan bahaya Covid-19,” katanya.

Kata Noor Azmi, data terkini menunjukkan vaksinasi membabitkan kanak-kanak hanya 38 peratus manakala remaja 91.7 peratus dan dos penggalak 67.3 peratus.

Katanya, ini jelas menunjukkan vaksinasi membabitkan kanak-kanak masih pada tahap yang perlahan.

“Kita berharap ibu bapa mengambil vaksinasi untuk anak-anak mereka secepat mungkin,” katanya.

Noor Azmi berharap anggota yang bertugas di kawasan tumpuan seperti di bazar Ramadan dapat mengingatkan pengunjung dengan baik dan sopan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.