KUALA LUMPUR, 8 April – BERSATU menafikan dakwaan mereka membantah syarat kerusi dikosongkan yang merupakan antara kriteria yang terkandung dalam Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti itu sentiasa komited dalam memastikan reformasi institusi berjalan dengan baik.

Katanya, BERSATU menghantar wakil ke sesi-sesi konsultasi mengenai RUU Anti Lompat Parti dan Akta Mengehadkan Tempoh Khidmat Perdana Menteri.

Justeru, laporan Utusan Malaysia hari ini langsung tidak melambangkan semangat perbincangan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 5 April lalu.

“BERSATU menghantar wakil ke sesi-sesi konsultasi dan dalam setiap sesi, kami menyuarakan pandangan secara konstruktif untuk memastikan kerajaan dapat menghasilkan draf yang terbaik untuk negara.

“Malah, Ahli MPT BERSATU Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin adalah Timbalan Menteri yang memainkan peranan penting dalam proses menyediakan draf Akta-Akta ini.

“Tidak pernah ada penolakan kolektif seperti yang didakwa. Saya tidak tahu sumber mana yang dipetik dan apa niat disebalik ulasan tersebut. Pandangan rasmi parti akan dinyatakan apabila kita mendapat salinan draf yang sebenar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia yang memetik sumber melaporkan, parti itu secara kolektif tidak bersetuju dengan syarat kerusi dikosongkan terhadap mana-mana ahli parlimen yang dipecat kerana melompat parti sekali gus Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan.