JITRA, 8 April – Kerajaan disaran berkongsi draf akhir Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung antilompat parti dengan rakyat sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata langkah itu bagi memastikan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar akademik dapat memberikan pandangan untuk menambah baik rang undang-undang tersebut.

“Pandangan saya ialah draf akhir perlu dikongsikan dengan semua pihak untuk memberi pandangan. Sekarang ini, kita semua bersetuju dengan rang undang-undang itu tanpa melihat kepada draf akhirnya.

“Kita ada pakar daripada NGO, kita ada pakar daripada akademik, semua orang boleh diberi peluang untuk memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan bakul makanan sempena Ramadan di Kampung Binjal hari ini.

Beliau berkata banyak perkara atau klausa di dalam draf rang undang-undang itu perlu ditakrifkan secara jelas dan diolah demi kebaikan rakyat dan negara.

Wan Saiful berkata semua pihak perlu diberi peluang untuk menyatakan pandangan dan bukan hanya melibatkan pemimpin politik.

“Jadi bagi kita, draf rang undang-undang itu perlu disiapkan segera tetapi perlulah dalam keadaan terbaik untuk memastikan tidak ada pihak yang boleh mengambil peluang apabila ia diluluskan nanti,” katanya.

Mengulas pendirian BERSATU mengenai rang undang-undang itu, beliau berkata BERSATU komited untuk memastikan reformasi institusi berjalan dengan lancar dan draf terbaik dapat dihasilkan demi manfaat rakyat serta negara.

“Setakat ini, kita tidak pernah katakan bahawa kita tolak akta ini, kita sertai perbincangan dan bagi pandangan.

“Itu tandanya kita menyokong, cumanya ada perkara di dalam draf itu yang kita tidak setuju tetapi bukan kita tidak setuju akta itu,” katanya.