KUALA LUMPUR, 9 April – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dalam perbicaraan disegerakan, bagi memberi keadilan kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ini susulan mahkamah di Amerika Syarikat (AS) yang menjatuhkan hukuman bersalah ke atas bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng, atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1MDB.

Muhyiddin berkata, Peguam Negara AS, Breon Peace, dalam kenyataannya turut menyifatkan keputusan terbabit sebagai kejayaan kepada rakyat Malaysia.

“Perbicaraan kes Roger Ng mendedahkan bukti mengenai penyelewangan 1MDB yang membabitkan pegawai dan pemimpin utama kerajaan Malaysia, ketika itu.

“Bagaimana tidak amanahnya mereka menyeleweng berbilion ringgit wang 1MDB yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pelaburan strategik dan melaksanakan projek pembangunan ekonomi negara.

“Wang ini sebaliknya digunakan untuk memperkaya diri sendiri dan kroni,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng didapati bersalah oleh Mahkamah AS kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1MDB.

Keputusan oleh juri di negara berkenaan diumumkan oleh Mahkamah di Brooklyn, hari ini.

Tanpa menamakan mana-mana individu, Muhyiddin menegaskan beliau menentang perbuatan jenayah ‘mereka’ sejak dari awal dan akan terus berjuang menghalang kumpulan kleptokrat daripada kembali berkuasa.

“Saya percaya mahkamah di negara kita juga akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam prosiding.

“Perbicaraan kes ini mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai,” katanya.