TAWAU, 9 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam usaha menambah baik mekanisme penyaluran subsidi dan meneliti alternatif lain untuk mengurangkan ketirisan apabila barangan bersubsidi itu turut dinikmati penduduk negara jiran.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat tular berkaitan isu tersebut melalui media sosial, misalnya tong gas memasak terjual sehingga ke negara jiran dan perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

“Di sini 14 kilogram tong gas dijual dengan harga RM26 sahaja tetapi di sana (negara jiran) harga itu mencecah sehingga RM70 satu tong, harga RM26 ini adalah sebab kerajaan beri subsidi, tetapi ini mendorong pula berlaku ketirisan.

“Kita melihat semua aspek dan akan memikirkan cara mengurangkan ketirisan termasuk cadangan memberikan subsidi secara terus kepada rakyat (kumpulan sasar) kerana ketika ini, subsidi terus kepada produk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keberkesanan program penyeragaman harga serta kawasan pengedaran barang kawalan dan bersubsidi di Kampung Sungai Tongkang dan Kampung Mentadak di Pulau Sebatik dekat sini pada Sabtu.

Menurut Rosol, pihaknya juga meneliti beberapa cadangan termasuk penggunaan cip hologram pada tong gas untuk memudahkan barangan berkenaan dikesan.

“Pada tahun ini kerajaan memperuntukkan RM680 juta membabitkan program penyeragaman harga, program penstabilan harga minyak masak serta subsidi tepung gandum kegunaan am.

“Apabila ada pilihan yang difikirkan sesuai untuk dilaksanakan di beberapa kawasan, untuk dilihat keberkesanannya, yang penting RM680 juta dibelanjakan kerajaan itu tidak dibelanjakan untuk yang tidak sepatutnya,” katanya.

Katanya, lagi Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Pulau Sebatik dan Kalabakan memainkan peranan penting dalam membantu penguat kuasa membanteras penyelewengan dan penyeludupan barangan subsidi.