KUALA LUMPUR, 9 April – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta Perdana Menteri tidak membiarkan kenaikan harga barang menjadi satu fenomena berterusan.

Beliau berkata, kenaikan harga barang perlu dipandang serius oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujarnya, memberi arahan kepada agensi atau kementerian sahaja adalah tidak cukup, sebaliknya perlu terlibat secara langsung memastikan harga barangan tidak menjadi di luar kawalan.

“Sepanjang minggu ini setiap hari saya menyantuni rakyat melalui program-program kebajikan di kampung-kampung dan melalui walkabout di bazar-bazar Ramadan di Jitra dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Setiap kali saya bertemu mereka, satu perkara yang tidak pernah lekang dari percakapan adalah betapa kenaikan harga barang menekan kehidupan harian rakyat biasa.

“Fenomena ‘Barang Naik’ ini mesti dipandang serius oleh Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi).

“Jangan beri alasan dan arahan sahaja tetapi betul-betul pastikan ada tindakan penguatkuasaan tegas sekiranya ada peniaga yang mengambil kesempatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Wan Saiful, pasukan penguat kuasa mesti digerakkan dengan sepenuhnya untuk memantau fenomena harga barangan dan mengambil tindakan segera apabila perlu.

Malah, katanya, pada masa sama, usaha membina semula ekonomi mesti dijadikan tumpuan.

“Kita mesti pastikan rakyat biasa dapat menjalankan dan mempergiat kegiatan ekonomi harian mereka supaya semua rakyat mempunyai peluang untuk mampu menyara kehidupan sendiri.

“Perhatian kerajaan mestilah ditumpukan kepada rakyat terbanyak, bukan bail out syarikat konsesi besar atau mencipta peraturan yang memberi untung berganda kepada syarikat terkait keluarga kluster mahkamah. Jangan biarkan fenomena ‘Barang Naik’ berterusan,” ujarnya.