KUALA LUMPUR, 10 April – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya berunding terlebih dahulu dengan PN dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata, PN merupakan parti utama yang membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Semalam (Sabtu), saya dan pimpinan parti-parti anggota PN telah mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Sri Perdana diikuti majlis berbuka puasa.

“Kami membincangkan hal ehwal semasa yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam siaran di Facebook rasminya pada Ahad.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ismail Sabri dalam perjumpaan tersebut turut menekankan hubungan kerjasama dengan PN dalam Kerajaan Persekutuan serta memberikan komitmen untuk berunding dengan PN dalam menentukan dasar-dasar utama negara.