KUALA LUMPUR, 18 April – Kes penderaan kanak-kanak termasuk orang kurang upaya (OKU) perlu mendapat pembelaan tanpa mengira status dan kedudukan pelaku.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kes-kes penderaan melibatkan kanak-kanak dan anak istimewa perlu diberi perhatian oleh masyarakat serta dipastikan ada pembelaan undang-undang.

Menurut beliau, pembelaan perlu dilakukan tanpa kompromi dan jangan hanya kerana Orang Kena Tuduh (OKT) mempunyai kedudukan dan mampu menggunakan pasukan peguam yang mewah, kekejaman mereka tidak dihukum.

“Sebagai seorang yang pernah menubuhkan dan menjalankan pusat autisme untuk anak-anak istimewa, sudah pasti saya amat terkesan apabila membaca laporan-laporan yang berkaitan kes ini. Semasa saya memulakan dan seterusnya mengetuai operasi rumah kebajikan anak-anak autisme tersebut, keselamatan serta kebajikan anak-anak di bawah jagaan kami merupakan perkara paling penting setiap hari dan setiap masa.

Kes-kes yang memangsakan kanak-kanak, apatah lagi anak-anak istimewa kelainan upaya, wajib dipandang serius, diberi perhatian oleh masyarakat dan dipastikan ada pembelaan undang-undang dengan segera,” katanya dalam kenyataan di Facebook, pada Ahad.

Wan Saiful turut menggesa kerajaan segera mencari mekanisme bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Peraturan yang ada mesti dikuatkuasakan. Paling penting kebenaran menjalankan rumah kebajikan dan perlindungan dan kebajikan mestilah diberi hanya kepada mereka yang benar-benar mempunyai komitmen untuk menjamin nasib anak-anak dalam jagaan mereka,” tegasnya.