KOTA BHARU, 18 April – Kementerian Pendidikan akan membina sebuah kolej khusus untuk penuntut tingkatan enam di Bukit Cina, Kok Lanas, di sini sekali gus menjadi yang pertama di negeri ini.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kolej itu akan dilengkapi 20 bilik darjah serta kemudahan lain dan dibina di lokasi strategik iaitu di laluan utama Kota Bharu–Gua Musang.

“Pembinaan kolej ini dapat memberi peluang kepada anak-anak Kelantan untuk mengikuti pendidikan di peringkat lepasan menengah di sebuah premis kolej tingkatan enam yang lengkap.

“Kolej ini mampu memacu kecemerlangan pendidikan negara melalui penyediaan infrastruktur pendidikan yang lebih baik untuk generasi muda di Kelantan,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, Radzi turun padang melawat tapak pembinaan kolej tersebut bersama warga Jabatan Pendidikan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Radzi dalam pada itu memberitahu, sehingga kini terdapat 23 kolej tingkatan enam beroperasi di seluruh negara.

Beliau berkata, antara negeri yang belum mempunyai kemudahan itu ialah Perlis, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Labuan.