TASEK GELUGOR, 18 April – Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang memerlukan modal tambahan bagi memperkasakan perniagaan mereka digalakkan memohon skim bantuan bersasar yang disediakan agensi itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Pengerusi AIM, Datuk Shabudin Yahaya berkata, bantuan itu diberi berdasarkan jumlah permohonan yang diterima serta hanya diberikan atas tujuan yang tertentu.

Katanya, pada masa ini bantuan bersasar itu bertujuan membantu para Sahabat Usahawan AIM menjalankan perniagaan ketika bulan puasa dan menjelang Aidilfitri.

“Dengan adanya bantuan ini, Sahabat Usahawan AIM boleh membuka pusat jualan kuih-muih dan sebagainya sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini juga pihaknya mengeluarkan sebanyak RM120,000 untuk skim bantuan bersasar itu bermula Disember lalu.

Shabudin ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Untuk Penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang diadakan bersama majlis penyerahan sumbangan untuk anak-anak yatim di sekitar Tasek Gelugor di sini, pada Ahad.

Pada majlis itu, seramai 50 penuntut IPT terpilih menerima wang tunai berjumlah RM200 tiap seorang manakala 200 anak yatim pula menerima sebanyak RM100 tiap seorang di bawah peruntukan yang diberikan kepada pusat khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Difahamkan, jumlah maksimum yang boleh dipohon di bawah skim bantuan khas bersasar itu ialah sebanyak RM5,000 bagi seorang peminjam.

Dalam pada itu, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, lebih 7,000 Sahabat Usahawan AIM telah disenaraikan sebagai penerima geran khas Bantuan Banjir Keluarga Malaysia di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP).

Beliau berkata, penyerahan geran khas itu telah selesai di tiga buah negeri iaitu Selangor, Johor dan Pahang manakala dua lagi negeri yang terlibat dengan bencana yang sama iaitu Kelantan dan Terengganu dijangka selesai minggu depan.