MUAR, 20 April – Keputusan sama ada mahu menamatkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang perlu diambil kira daripada pelbagai aspek.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia berikutan melibatkan banyak perkara termasuklah soal pembubaran kerajaan melalui pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, pentadbiran kerajaan Persekutuan juga ketika ini masih berada di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN).

“Melalui pertemuan antara pimpinan tertinggi PN dan Perdana Menteri dua minggu lepas, kita ada berbincang mengenai perkara ini. Saya dimaklumkan bahawa pembangkang minta untuk MoU ini dilanjutkan.

“Tetapi, dalam pertemuan dengan beliau (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), tiada sebarang makluman dibuat. Perdana Menteri tidak memutuskan apa-apa perkara lagi, jadi, saya tak fikir nak buat sebarang kenyataan bagi pihak beliau.

“Bagaimanapun, ia terserah kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan sama ada wajar atau sebaliknya kerana ia melibatkan banyak benda termasuklah PRU dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kebajikan ke kediaman Setiausaha BERSATU Pagoh, Atiman Kadar di Panchor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai ini tidak akan diteruskan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, UMNO juga menetapkan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan di Parlimen.