KUALA LUMPUR, 20 April – Semua pihak termasuk warga asing yang berada di negara ini perlu mematuhi undang-undang yang sudah diperuntukkan.

Setiausaha Agung BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, Malaysia adalah negara yang tidak mengiktiraf status pelarian dan keberadaan pelarian dalam negara adalah hanya atas dasar kemanusiaan.

“Bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan rakyat Malaysia, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 528 tahanan di Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap meloloskan diri, kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Difahamkan kesemua tahanan yang dipercayai warga Rohingya itu meloloskan diri selepas berlaku rusuhan.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengesahkan seramai enam tahanan meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 165 Lebuhraya Utara-Selatan (menghala ke selatan).

Katanya, mangsa kemalangan itu membabitkan masing-masing dua lelaki dan wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan wanita.

Mengulas lanjut, berhubung tahanan yang melarikan diri itu, Hamzah menjelaskan, beliau sudah mengarahkan pihak polis dan Jabatan Imigresen untuk melakukan siasatan terperinci punca mereka bertindak sedemikian.

“Sehingga kenyataan ini, 382 tahanan sudah ditahan semula oleh pihak PDRM dan semua agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikerahkan dalam operasi bersepadu bagi menahan semula kesemua tahanan yang melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, kesemua 528 tahanan yang melarikan diri adalah pelarian etnik Rohingya yang dipindahkan daripada Kem Wawasan Langkawi selepas ditangkap mencerobohi perairan negara dan melanggar Akta Imigresen pada tahun 2020,” katanya.