KUALA LUMPUR, 21 April – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) yang baharu, Mohd. Izzat Afifi Abd. Hamid dilantik secara rasmi sebagai ahli Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri (CCFP).

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, pelantikan itu dibuat dengan mengambil kira pengalamannya yang berupaya menyumbang ke arah proses penggubalan polisi awam.

“Dasar Luar Negeri pada ketika ini perlu pragmatik serta berdaya tahan bagi menghadapi cabaran semasa serta mewakili suara golongan belia,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Izzat Afifi yang juga Tokoh Anugerah Perdana Belia Negara 2020 sebelum itu ialah Naib Presiden MBM, mula menggantikan penyandang sebelumnya, Jufitri Joha akhir bulan lepas.

Beliau ketika ini masih lagi berkhidmat sebagai Presiden Majlis Belia Negeri Pahang bagi sesi 2020-2023 dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa Persekutuan Pengakap Malaysia.

Pelantikan tersebut ujar beliau, dilakukan sebelum mesyuarat CCFP mula bersidang buat kali pertama untuk tahun ini di Wisma Putra semalam secara hibrid dengan sembilan ahlinya hadir secara fizikal manakala baki enam lagi ahli menyertai secara maya.

Pada mesyuarat tersebut, dua timbalan ketua setiausaha dari Kementerian Luar hadir menyertai sesi mesyuarat sebagai ahli ad-hoc bagi membincangkan isu-isu berkepentingan tertentu iaitu Datuk Amran Mohamed Zin dari Bahagian Hubungan Dua Hala dan Datuk Cheong Loon Lain dari Bahagian Pelbagai Hala.

“Ahli-ahli CCFP memperhalusi beberapa isu yang ada kepentingan secara langsung ke atas Malaysia dan Wisma Putra antaranya konflik Ukraine dengan jirannya, Rusia,” kata beliau.

Mereka juga membincangkan cadangan agar keberkesanan pelbagai bantuan kemanusiaan dari Malaysia ditingkatkan selain beberapa inisiatif boleh diketengahkan pihak kementerian termasuklah aspek diplomasi bahasa dan kebudayaan serta isu keselamatan makanan bagi memastikan sumber dan bekalan yang stabil di sebalik pelbagai cabaran.