KUALA LUMPUR, 24 April – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membentangkan memorandum Jemaah Menteri bagi melaksanakan penubuhan Jawatankuasa Kabinet Melindungi Golongan Rentan dengan segera.

Ketua Srikandi BERSATU yang juga Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata perincian mengenai jawatankuasa itu akan diumumkan dalam masa terdekat, dengan penubuhannya bertujuan merangka pendekatan holistik untuk memastikan kebajikan golongan sasar dilindungi daripada dimanipulasi, pengabaian serta penganiayaan.

Malah, beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan melihat pendekatan bagi melaksanakan ujian saringan kesihatan mental ke atas pengasuh dan petugas pusat jagaan.

“Langkah ini penting bagi memastikan setiap pengasuh mempunyai tahap kesihatan mental yang baik serta tidak cenderung untuk melakukan pengabaian, penderaan dan penganiayaan ke atas penghuni bawah jagaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rina memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan mempengerusikan jawatankuasa itu, manakala KPWKM bertindak sebagai sekretariat, dalam usaha mengatasi isu bagi melindungi golongan rentan dengan pelaksanaan secara bersepadu bersama pembabitan semua pihak berkaitan.

Jawatankuasa itu akan membabitkan keanggotaan daripada Kementerian Pendidikan; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Kesihatan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; dan kementerian lain yang berkaitan.

Katanya, kerjasama pelbagai pihak itu penting kerana setiap perkara adalah saling berkait antara tugas serta kuasa sesebuah kementerian dengan kementerian lain.

Sebagai contoh dalam isu pendaftaran pusat jagaan, beliau berkata, kelulusan bukan dalam bidang kuasa KPWKM semata-mata tetapi juga membabitkan pemeriksaan dan penilaian agensi teknikal yang lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“KPWKM komited bekerjasama dengan KPKT dan PBT khususnya bagi memastikan tatacara pendaftaran ini dapat ditambah baik supaya kesejahteraan golongan rentan memperoleh perlindungan sewajarnya, dapat direalisasikan.

“Keperluan untuk memastikan semua pusat jagaan mendaftar, perlu diimbangi dengan kewajipan dalam memastikan keselamatan penghuni atau klien di pusat jagaan yang terdiri daripada kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan seumpamanya,” katanya.

Rina berkata, perkara lain yang akan turut ditekankan ialah kualiti pengoperasian dan khidmat jagaan.

Katanya, KPWKM tidak mahu situasi banyak pusat jagaan dapat didaftarkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan, namun aspek kualiti tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan menyelaraskan pendaftaran pusat jagaan yang selalunya menjadi isu berbangkit berikutan prosedur dan syarat berlainan antara PBT dilihat oleh pusat jagaan sebagai sukar untuk dipenuhi.

“Kesukaran mendapatkan lesen operasi akan menyebabkan banyak pusat jagaan tidak berdaftar wujud di negara ini bagi memenuhi keperluan permintaan pelbagai pihak,” katanya.

Sementara itu, Rina turut mengulas kenyataan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang sebelum ini dilaporkan mendakwa bahawa penubuhan jawatankuasa terbabit menunjukkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak mampu bekerja.

“Terima kasih kepada Ahli Parlimen Segambut yang cukup prihatin dengan penubuhan jawatankuasa ini. Jangan panik, masih awal lagi. Tunggulah perincian secara ‘terperinci’ yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya mengajak YB juga bekerja bersama-sama kementerian dalam menjayakan misi ini,” katanya.