KUALA LUMPUR, 25 April – BERSATU melancarkan tabung Bantu Al-Aqsa, satu kempen membela perjuangan rakyat Palestin daripada penindasan dan kekejaman regin Zionis.

Kempen itu dilancarkan oleh Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Iftar BERSATU di Menara PGRM pada Isnin.

“Sebagai permulaan, BERSATU menyumbangkan sebanyak RM50,000 kepada tabung ini.

“Saya menyeru ahli-ahli parti dan seluruh rakyat Malaysia dapat menyokong kempen dengan tampil memberi sumbangan derma sebagai simbol solidariti kita kepada rakyat Palestin.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar kesengsaraan yang sedang mereka alami khususnya di bulan Ramadan ini cepat berakhir,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kepemimpinan tertinggi parti serta ahli-ahli parti.

Majlis berbuka puasa ini turut diserikan dengan kehadiran kira-kira 100 anak yatim dari Pusat Jagaan Banat Warisan Suci.