BANGI, 25 April – Kementerian Pendidikan menolak pandangan sesetengah pihak kononnya ramai guru bersara awal disebabkan tekanan kuat berkait perubahan pengajaran dan pembelajaran dalam tempoh pandemik Covid-19.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin sebaliknya menjelaskan, aliran tersebut sudah mula pun dikesan bertambah tinggi seawal pada 2017 lalu dan berterusan hingga kini.

“Data yang kita ada menunjukkan pola trend ramai guru bersara awal itu telah lama wujud sejak 2017 dan sepanjang tahun tersebut, penyakit Covid-19 pun belum ada lagi muncul di dunia.

“Coraknya kemudian didapati kekal sama pada tahun berikutnya pula sehingga sekarang dengan jumlah angka bersara awal hampir menyamai kadar guru yang bersara wajib,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Generational Endgame Antirokok (GEGAR-18) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra di sini.

Turut hadir melancarkan secara bersama program tersebut ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam usaha pihak kerajaan menamatkan generasi perokok baharu mulai tahun ini.

Mengulas lebih lanjut, Mohd. Radzi berkata, pihak kementeriannya masih lagi memperincikan punca trend guru yang bersara awal sebelum data diumumkan kepada pengetahuan umum.

“Insya-Allah, ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat dan dari situ kita boleh menjelaskan faktor penyebab ramai berhenti sebelum capai usia wajib persaraan 60 tahun,” tambah beliau.

Justeru, beliau meminta masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian mengenai trend tersebut kerana ada pelbagai punca yang mungkin tidak dikenal pasti secara lebih mendalam.

Sehubungan itu, hasil kajian mengenai pola trend tersebut akan dijadikan panduan kepada pihak kementerian untuk merangka strategi perancangan sumber manusia yang lebih holistik.

Ini ujarnya, termasuk mengenal pasti sebarang kelemahan dari segi prasarana, beban tugas, suasana pengajaran dan sebagainya bagi menambah baik kerjaya perguruan akan datang.

Data itu juga katanya akan dijadikan rujukan dalam proses pembuatan dasar pengambilan guru baharu supaya keperluan tenaganya seimbang dengan nisbah murid yang sepatutnya.