PUTRAJAYA, 26 April – Hampir 1,000 warga Malaysia di Russia kini terpaksa bergantung ‘hayat’ kepada perkhidmatan firma UnionPay bagi semua urusan pemindahan dana dari bank luar negara.

Perkara itu didedahkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kepada pemberita selepas mengadakan sidang video secara langsung dengan 270 rakyat Malaysia di sana.

“Inilah antara perkara utama yang jadi kerisauan ramai warga kita di sana susulan isu sekatan sehala oleh Barat ke atas semua institusi perbankan dan kewangan seluruh Russia,” katanya selepas menyertai sidang video selama hampir 90 minit di Wisma Putra di sini yang turut melibatkan Duta Besar Malaysia ke Moscow, Datuk Bala Chandran Tharman.

Awal Mac lalu, Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) dan blok sekutunya melaksanakan sekatan pemindahan dana melalui segala instrumen perbankan antarabangsa kepada Russia sebagai tindak balas protes ekoran pencerobohan tentera Russia ke Ukraine.

Bagaimanapun langkah unilateral itu menyebabkan warga asing di Russia termasuk pelancong, pelajar dan ekspatriat mengalami kesukaran penyaluran menerusi akaun bank peribadi.

Saifuddin menambah, Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga menggunakan UnionPay bagi urusan pindah wang kepada 27 pelajar tajaannya tetapi ada kerisauan jika sekatan Barat akan beri kesan selepas ini.

Pada masa sama difahamkan ada beberapa bank di Malaysia yang enggan menggunakan perkhidmatan UnionPay kerana bimbang terikat dengan polisi sekatan pihak Barat.

Justeru, beliau akan membawa isu tersebut kepada pihak Bank Negara Malaysia agar dapat dibuat opsyen terbaik untuk menangani perkara itu terutama pelajar yang dibiayai ibu bapa.

“Wisma Putra menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Moscow akan memantau situasi dan sentiasa berhubung dengan kerajaan Russia agar isu ini dapat ditangani baik,” kata Saifuddin.