IPOH, 26 April – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh atlet mahupun jurulatih.

Timbalan Presiden BERSATU yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang di negara ini.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan jenayah.

“Kita tidak berkompromi langsung dengan apa-apa tindakan yang menyalahi undang-undang negara malah kita kecam dan kita nak semua rakyat terutama golongan belia, atlet serta mereka yang ada kedudukan yang sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat untuk tidak melakukan apa sahaja perkara yang menyalahi undang-undang negara.

“Undang-undang negara kita gubal untuk kepentingan semua dan negara. Kita tidak mahu sikap tamak, sikap apa jugalah sanggup menyalahi undang-undang untuk memenuhi nafsu masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) di Masjid Abu Bakar As-Siddiq di Pusat Latihan PGA, Ulu Kinta pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan seorang jurulatih renang bersama empat individu yang ditangkap polis dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Ditanya mengenai nasib jurulatih berkenaan, Ahmad Faizal berkata, pihak persatuan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap individu tersebut jika didapati bersalah.

“Kalau seseorang pemegang jawatan itu telah didapati bersalah apabila didakwa di mahkamah dan sebagainya, tentunya persatuan terbabit akan mengambil tindakan.

“Persatuan mungkin akan menggantung, memberhentikan atau memecat mereka daripada terus memegang jawatan di dalam tugasan sebelum itu,” katanya.

Pada Isnin, polis menahan empat lelaki termasuk seorang jurulatih renang dipercayai pengedar dadah dan merampas 287 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM10.3 juta dalam empat serbuan berasingan di Selangor, Johor pada Jumaat dan Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 29 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Johor dan JSJN Selangor.