KOTA BHARU, 27 April – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata sumbangan RM100 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime disalurkan kepada 3,000 pelajar asnaf di seluruh negara dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM300,000.

“Di Kelantan, program ini mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan melibatkan 1,400 pelajar asnaf dari 14 Parlimen dengan peruntukan berjumlah RM140,000.

“Saya mengalu-alukan orang ramai atau pihak persendirian sama-sama memberi sumbangan kepada anak-anak asnaf dalam bentuk akaun Simpan SSPN bagi menjamin pendidikan golongan itu pada masa depan,” katanya yang hadir bagi menyerahkan sumbangan kepada penerima dalam Jelajah Simpan SSPN 2022 Peringkat Negeri Kelantan, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JPN Kelantan, Zain Halim; Penyelaras Program Kawasan Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Nas Ruddin Abdullah; Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, Dr. Khairudin Said; dan Pengurus Besar PTPTN Negeri Kelantan, Mohd Azrul Akmal Mamat.

Sementara itu katanya, sempena Ramadhan ini, PTPTN turut melaksanakan Program PTPTN Prihatin: Ramadan dan Syawal Bersama PTPTN Tahun 2022 seperti Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) Bersama Pelajar IPT/ Politeknik Tahun 2022, Program Raikan Syawal Bersama Anak-anak Yatim, Program Sempurnakan Raya Special PTPTN x Mingguan Wanita, Program Ihya Ramadan PTPTN 2022 dan Bantuan Kewangan Pengajian Kepada Anak Yatim (ASNAF) Yang Kehilangan Ibu Bapa Akibat Covid-19.

“Pelbagai kempen dan promosi akan terus dipergiatkan bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan termasuk mengadakan Kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN yang terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN.

“Hadiah yang ditawarkan juga menarik dan lumayan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1 juta menanti 350 pemenang menerusi tempoh promosi bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2022.

“Jadi, saya menyeru kepada ibu bapa di luar sana untuk sama-sama mendapat manfaat Simpan SSPN dengan membuka akaun di www.lovesspn.com atau melalui aplikasi mudah alih myPTPTN” ujarnya.