KUALA LUMPUR, 27 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menahan mana-mana pengguna jalan raya yang dikesan memiliki waran tangkap lampau sepanjang Op Selamat bermula dari 29 April hingga 8 Mei depan.

Sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat itu juga, individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke mana-mana balai polis berhampiran, manakala yang memiliki saman tertunggak pula akan diminta menjelaskan saman mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata polis akan mengoptimumkan penggunaan alat pengesanan had laju ‘In-Car Radar’ di sepanjang lebuh raya dan jalan raya utama sepanjang Op Selamat itu.

“Alat ‘In-Car Radar’ ini akan membolehkan semua kereta peronda polis mengesan mana-mana kenderaan yang terbabit dalam kegiatan jenayah serta pemilik yang memiliki rekod jenayah dikehendaki polis.

“Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga akan menggunakan alat ‘Intelligent Compound Online Payment System’ (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik pada operasi kali ini,” katanya selepas melancarkan Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 pada Selasa.

Op Selamat 18 adalah kolaborasi antara PDRM dan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang memfokuskan dua objektif utama iaitu keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah ketika musim perayaan dan meminimumkan kes kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut.

Dalam perkembangan berkaitan, Razarudin berkata, pihaknya menjangkakan jumlah kenderaan akan berada pada satu-satu masa di lebuh raya pada musim perayaan antara dua hingga empat juta kenderaan.

“Kita jangka jumlah kenderaan bermula Jumaat ini membabitkan mereka yang ingin pulang berhari raya di kampung di seluruh negara mencecah antara dua hingga empat juta.

“Sehubungan itu, JSPT dan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan bagi memastikan keselamatan pengguna diutamakan selain kelancaran lalu lintas,” katanya.