KOTA BHARU, 28 April – BERSATU Kelantan mengesahkan mereka sudah mengadakan perbincangan dengan Pas berhubung agihan kerusi di negeri itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata menerusi perbincangan secara tidak formal itu Pas memutuskan untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang mereka ketika ini.

“BERSATU pula akan bertanding di kerusi yang disandang parti itu pada PRU15 nanti. Bagaimanapun bagi kerusi yang dimenangi parti lain (UMNO) membabitkan tiga kerusi Parlimen dan tujuh DUN di Kelantan masih belum diputuskan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Bersama Pengamal Media Kelantan, di sini pada Rabu.

Menurutnya, kesemua cadangan itu akan diangkat ke peringkat kepimpinan tertinggi parti sebelum ia diputuskan.

Beliau berkata, bagi kerusi yang belum diputuskan, pertimbangan perlu dibuat berdasarkan parti dan calon yang mempunyai potensi untuk menang dan bukannya sekadar bertanding semata-mata.

Kamarudin bagaimanapun berkata, tidak mustahil sekiranya BERSATU meletakkan calon di kerusi yang disandang Pas kerana ia mengambil faktor timbal balas di negeri lain.

“Mungkin di negeri lain, Pas bertanding di kerusi yang dimenangi BERSATU.

“Jadi kita tidak boleh melihat kepada aspek Kelantan semata-mata, sebaliknya perlu melihat kerjasama di seluruh negara,” ujarnya.