PUTRAJAYA, 28 April – Guru-guru yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan untuk mengajar secara bersemuka di dalam bilik darjah bermula 1 Mei ini.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, mereka juga seperti guru-guru lain akan dibenarkan berada di bilik guru dan premis-premis lain di sekolah.

Bagaimanapun, katanya, apa yang paling penting, mereka mestilah mematuhi garis panduan berkaitan pelitup muka yang sudah ditetapkan.

“Jika diikutkan, kita mahu ketetapan itu bermula esok, namun, memandangkan sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah hampir, maka, kebenaran itu akan bermula selepas sekolah dibuka semula 9 Mei ini,” katanya dalam sidang akhbar khas pengoperasian sekolah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan guru yang tidak menerima suntikan vaksin dilarang untuk mengajar secara bersemuka di dalam kelas dan berinteraksi dengan murid.

Berhubung pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi sesi 2022, Radzi berkata, pihaknya masih mengkaji pelaksanaan peperiksaan itu.

“Kajian itu sudah berada di peringkat akhir dan perkara berkaitan pelaksanaannya akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, pelaksanaan PT3 ditangguhkan pada 2020 dan 2021 susulan ancaman pandemik Covid-19.

Ditanya mengenai usaha mengatasi isu generasi hilang atau lost generation buat murid yang terkesan akibat pandemik, Radzi berkata, beliau yakin guru-guru sudah kembali mendapat peluang bagi mengatasi isu itu selepas sekolah dibuka semula secara bersemuka.

“Apabila anak-anak kembali ke sekolah secara bersemuka, guru-guru ada ruang yang cukup luas untuk melihat tahap penguasaan anak-anak ini.

“Intervensi bersesuaian boleh dilaksanakan oleh guru dan pihak sekolah bagi membolehkan anak-anak ini dapat mencapai tahap penguasaan yang diperlukan,” katanya.