PUTRAJAYA, 29 April – Individu yang menerima kewarganegaraan Malaysia diingatkan sentiasa berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara serta mematuhi undang-undang negara ini.

Setiausaha Agung BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata mereka juga diingatkan untuk menyokong inisiatif kerajaan dan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan keupayaan diri agar dapat memberi sumbangan kepada negara.

Beliau berkata, ibu bapa penerima juga diingatkan untuk mendidik anak masing-masing sebaik mungkin supaya mereka menjauhkan diri daripada terbabit dengan aktiviti tidak berfaedah yang boleh merosakkan masa depan mereka.

“Ingin saya ingatkan bahawa anugerah ini penting, yang datang dengan tanggungjawab amat besar. Tanggungjawab kepada negara, ibu bapa dan saudara-mara.

“Saya berharap penerima sentiasa berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara, memelihara kerukunan negara tercinta.

“Ingatlah keluarga besar Malaysia datang daripada pelbagai latar belakang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan oleh Menteri Dalam Negeri, di sini, hari ini.

Seramai 34 pemohon berusia antara lima hingga 24 tahun menerima surat keputusan permohonan kewarganegaraan yang disempurnakan oleh Hamzah.

Mereka terdiri daripada 18 pemohon lelaki dan 16 pemohon wanita iaitu 21 pemohon Melayu, lapan pemohon Cina, empat pemohon India manakala seorang individu beragama Islam yang dibesarkan oleh wanita bukan Islam.

Hamzah berkata, biarpun ada pemohon yang sudah mencecah usia 24 tahun, namun permohonan untuk kewarganegaraan itu dibuat sebelum beliau berusia 21 tahun selaras Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun ini seramai kira-kira 20,000 sudah menerima kewarganegaraan Malaysia termasuk lebih 3,000 individu sejak awal tahun hingga April.