KUALA LUMPUR, 7 Mei – ‘Kasih Ibu Selamanya’ adalah tema sambutan Hari Ibu pada tahun ini bagi mengangkat wanita terpenting dalam kehidupan setiap insan.

Ketua Srikandi BERSATU yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, gelaran ibu adalah dambaan setiap wanita kerana kasih dan kedudukan insan itu tiada tolok bandingan dan sangat mulia selaku tempat bermanja pengubat segala duka.

“Alhamdulillah, pada tahun ini kita meraikan sambutan Hari Ibu yang bertemakan Kasih Ibu Selamanya di dalam bulan Syawal dan masih di dalam mood berhari raya.

“Kepada anak-anak, ambillah peluang pulang ke kampung berjumpa ibu bapa. Saya percaya kepulangan anda wahai anak-anak sangat dinantikan oleh insan bergelar ibu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina kemudian berkata, peranan wanita hari ini tidak terbatas kepada tugasan hakiki di dalam rumah semata-mata apabila mereka kini mampu bergerak seiring bersama-sama golongan lelaki dalam segenap bidang termasuk ekonomi.

Bagaimanapun. kata beliau, dalam semua perkara tersebut, Allah telah menciptakan satu keistimewaan kepada wanita yang tidak terdapat pada seorang lelaki, iaitu nikmat melahirkan zuriat iaitu insan bernama ibu.

“Ibu adalah wanita terpenting dalam hidup setiap insan,” katanya.

Justeru itu, Rina mengajak seluruh masyarakat untuk menghargai jasa dan pengorbanan ibu dengan menyantuni mereka melalui Sambutan Hari Ibu sebagai tanda kasih sayang.

“Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu terutama ibu saya Taiyibah Rusli. Kasih Ibu Selamanya, terima kasih ibu,” katanya.