KANGAR, 9 Mei – “Kenyataan itu adalah kenyataan palsu. Ini merupakan satu fitnah. Hanya 35 orang yang terlibat dalam perjumpaan pagi tadi yang melibatkan Arau dan Kangar, tapi bukan keseluruhan ahli BERSATU.”

Itu reaksi Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah selepas membuat laporan polis terhadap bekas ketua cawangan BERSATU Kampung Hujung Tanjung, Abdullah Abu Bakar di Balai Polis Kuala Perlis, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan BERSATU Kampung Hujung Tanjung, Puan Fuziah dan barisan kepimpinan bahagian dan cawangan parti itu.

Menurut Abu Bakar yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kangar, beliau kesal dengan kenyataan yang mendakwa seramai 800 ahli BERSATU cawangan Kampung Hujung Tanjung, Kuala Perlis membuat keputusan keluar parti dan menyertai Umno.

Beliau menyifatkan kenyataan tersebut memburukkan imej parti BERSATU di mata masyarakat.

“Untuk makluman, yang keluar hari ini adalah seorang sahaja, yang merupakan ketua cawangan yang telah mengisytiharkan meletakkan jawatan sebagai Jawatankuasa Bahagian iaitu Abdullah Abu Bakar.

“Saya sebagai Ketua Bahagian yang merupakan ahli Cawangan Kampung Hujung Tanjung, kami mempunyai ahli seramai 164 orang sahaja. Angka 800 orang terlalu besar,” katanya.

Awal pagi ini, Utusan Malaysia melaporkan lebih 800 penyokong BERSATU cawangan Kampung Hujung Tanjung, Kuala Perlis membuat keputusan keluar parti berkuat kuasa serta merta dan menyatakan sokongan kepada UMNO.

Bekas Pengerusi cawangan Bersatu Kampung Hujung Tanjung, Abdullah Abu Bakar berkata, keputusan berkenaan diambil selepas beliau dan kepimpinan tertinggi cawangan tersebut meletak jawatan serentak.

Dalam pada itu, Abu Bakar mengesyaki tindakan itu didalangi oleh kumpulan Umno yang sedang mencari publisiti untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Kita tidak pernah mengisytiharkan atau kita tidak pernah terlibat dalam peletakkan jawatan oleh ketua cawangan. Bagi saya, hanya satu orang sahaja, Yang keluar hanya ketua cawangan sahaja.

“Jadi tindakan yang dibuat oleh ketua cawangan itu adalah merupakan tindakan memburuk-burukkan parti BERSATU.

“Oleh itu, saya menggesa polis mengambil tindakan tegas ke atas kenyataan yang dikeluarkan merupakan kenyataan yang memburukkan imej parti BERSATU,” katanya.