KUALA LUMPUR, 12 Mei – Mana-mana individu yang tiada dalam senarai yang berhak menerima fasiliti pengiring bermotosikal tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan itu.

Malah, sebaliknya, kemudahan tersebut perlu mendapat kelulusan daripada Ketua Polis Negara terlebih dahulu.

Setiausaha Agung BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika wujud kesalahan dilakukan anggota.

Bagaimanapun, katanya, siasatan dalaman sedang dijalankan dan bakal umumkan sehari dua lagi.

“Bagi orang yang menerima kemudahan itu, jika dikesan ada melakukan mana-mana kesalahan kerana melanggar undang-undang dalam negara, kita akan siasat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), pada Rabu.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan pengiring bermotosikal sudah jelas dan tidak memerlukan SOP yang baharu.

“Kita juga sudah menjawab isu ini di Parlimen, jadi tidak timbul masalah ini.

Jika berlaku kesalahan, ia masalah individu yang menggunakan kemudahan yang tidak patut digunakan,” katanya.

Sabtu lalu, tular video video di Facebook yang memaparkan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan awam didakwa dipandu anak Ahli Parlimen.

Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis negeri itu susulan video tular tersebut.