KOTA KINABALU, 20 Mei – Kerajaan Sabah berharap pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah akan terus ditingkatkan bagi membolehkan lebih banyak inisiatif berorientasikan rakyat dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata beliau percaya pendekatan Keluarga Malaysia diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh menjadi formula terbaik bagi menangani isu legasi serta kerjasama antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

“Kami yakin pendekatan Keluarga Malaysia dapat mengeratkan hubungan, menyimpul persefahaman dan meningkatkan kerjasama di semua peringkat termasuk antara negeri dan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) edisi Sabah dilancarkan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Hajiji berkata, banyak kemajuan mula dicapai dengan terkini persefahaman antara kedua-dua pihak pada 14 April lalu yang membawa kepada langkah pertama penyelesaian kajian semula kadar pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Hari ini saya ingin memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa tambahan hasil negeri yang diperolehi melalui kenaikan pemberian khas daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta itu kita kembalikan terus kepada rakyat,” katanya.

Hajiji berkata beliau telah mengumumkan wang itu akan digunakan untuk membina 1,500 Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Rumah Mesra SMJ adalah inisiatif baharu kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berkonsepkan program Projek Perumahan Termiskin (PPRT) di peringkat persekutuan.

“Hakikatnya, kerajaan negeri amat menghargai komitmen berterusan Persekutuan dalam menggerakkan dan menyusul siri rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Usaha ini telah dan sedang rancak berjalan melalui pelbagai platform dan diselaraskan di bawah mesyuarat Majlis Khas MA63,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji mencadangkan kerjasama negeri-persekutuan untuk menggabungkan program JAKM dan Maju Jaya (SMJ) di peringkat akar umbi di Sabah.

Beliau berkata konsep inisiatif kerjasama terbabit adalah mini karnival yang akan diadakan di setiap bahagian atau daerah di negeri ini secara berperingkat.

“Program ini penting agar kita dapat menyemarakkan dan merakyatkan kedua-dua agenda kerajaan ini secara seiring dan meluas di peringkat akar umbi.

“Sebagaimana yang sering saya tegaskan, nilai dan makna sesebuah agenda pembangunan kerajaan seharusnya bukan hanya boleh didengar, tetapi harus dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat di semua peringkat,” katanya.